Showing posts with label Kanak-Kanak. Show all posts
Showing posts with label Kanak-Kanak. Show all posts

Thursday, February 10, 2011

Tulang Rawan Rosak

Oleh Hafizah Iszahanid - hafiza@bharian.com.my (Berita Harian Online)
2010/08/08

Selain kegiatan sukan, masalah ini juga disebabkan kuman septic arthritis yang kerap dialami kanak-kanak.

RAWAN adalah tisu kuat yang fleksibel sifatnya dan ada di seluruh tubuh. Bagaimanapun masalah rawan di lutut kerap diperkatakan kerana kerosakannya bukan setakat menjejaskan pergerakan individu, malah kehidupan seharian.

Lebih malang lagi, bagi kes serius, lutut itu perlu diganti. Secara umumnya ada dua jenis rawan pada lutut; rawan meniskus - penyerap kejutan antara bahagian atas tulang paha (femur) dan tulang besar di bawah kaki (tibia). Sementara rawan artikular berwarna putih bersinar yang menutupi hujung kebanyakan tulang. Ia memastikan tulang bergeseran tanpa rasa sakit. Tebalnya hanya beberapa milimeter saja. Rawan artikular berfungsi untuk meminimumkan tekanan apabila individu bergerak. Pada masa sama, ia turut berfungsi sebagai penyerap kejutan.

Tidak seperti bahagian lain badan, rawan sebaliknya tidak memiliki bekalan darah (avascular). Justeru jika berlaku kerosakan rawan, ia tidak boleh pulih dengan cepat seperti mana kulit atau otot yang rosak. Selain sifat yang avaskular, rawan artikular juga tiada bekalan saraf (aneural).

Justeru, pada permulaan kecederaan pada rawan, anda tidak akan berasa sakit. Namun, apabila kecederaan itu semakin teruk atau rawan mula berlubang, ia akan menjejaskan pergerakan sendi. Namun, sendi juga akan mengalami masalah keradangan dan sakit.

Jika kecederaan itu besar, tulang di bawah rawan akan hilang perlindungan dan menyebabkan geseran. Tanpa rawatan, keadaan inilah pada akhirnya akan menjejaskan sendi.

Pakar Runding Ortopedik dan Trauma Sukan, Pusat Perubatan Darul Ehsan Shah Alam, Dr Khaizatul Ezam Abu Bakar, berkata kecederaan rawan boleh disebabkan trauma dalam bersukan atau disebabkan masalah penuaan. Bagaimanapun, ia mungkin boleh terjejas kerana jangkitan kuman misalnya septic arthritis, yang kerap berlaku di kalangan kanak-kanak.

“Kecederaan pada rawan selalunya akan menyebabkan rasa sakit pada bahagian lutut yang terjejas. Biasanya lutut bengkak atau terkunci (lock knee). Namun bukan semua kesakitan pada lutut itu disebabkan masalah rawan,” katanya.

Menurut Dr Khaizatul, kerosakan rawan ditandakan pada tahap 1 hingga 4. Umumnya, kerosakan tahap satu bermaksud rawan menjadi lembut.

“Pada tahap dua, permukaan rawan mula kasar manakala tahap tiga, berlaku keretakan pada rawan hingga ke tulang. Pada tahap empat, rawan mula menghakis daripada permukaan sendi,” katanya.

Ini, kata Dr Khaizatul Ezam, ia menjelaskan mengapa pada permulaan masalah kecederaan rawan, individu itu tidak begitu merasakan kesakitan. Sebaliknya, apabila rawan semakin rosak, kesakitan mula terasa.

“Selalunya, imbasan akan dilakukan bagi menilai keadaan rawan dan tulang di sekeliling lutut. Jika kerosakan itu kecil, laporan imbasan biasanya masih normal. Justeru, imbasan MRI akan digunakan bagi melihat kerosakan pada rawan dan kecederaan lain jika ada pada lutut.”

INFO

Simptom kerosakan rawan

1) Sakit pada sendi
2) Sendi bengkak
3) Lutut terkunci (lock knee ) - sendi lutut tidak boleh diluruskan
4) Lutut juga mungkin berbunyi ketika bergerak terutama jika rawan di belakang kepala lutut yang rosak.

Punca kerosakan rawan

Antara yang utama adalah osteoarthritis dan selalunya membabitkan golongan berusia. sementara golongan muda biasanya mengalami kecederaan rawan kerana pembabitan dalam sukan.

Masalah kecederaan rawan boleh juga berlaku di kalangan kanak-kanak disebabkan jangkitan kuman pada sendi misalnya septic arthritis. Selain kanak-kanak, septic arthritis juga boleh dialami kalangan pesakit tibi, HIV dan diabetes. Selain itu ia berlaku juga di kalangan pesakit kanser, pesakit gout dan rheumatoid arthritis (RA).

Rawatan. # Rawatan tanpa pembedahan umumnya membantu melegakan simptom kerosakan rawan. Ini seperti:

1) Fisioterapi - latihan yang menguatkan otot berkaitan atau menyokong sendi boleh membantu mengurangkan tekanan kepada sendi dan mengurangkan rasa sakit.
2) Ubat-ubatan - seperti ubat steroid anti radang seperti aspirin atau ibuprofen boleh membantu mengurangkan bengkak dan sakit.
3) Penggunaan alat-alatan bantuan - seperti leg brace
4) Perubahan gaya hidup - mengurangkan aktiviti yang membabitkan sendi yang terjejas.

Rawatan dengan pembedahan.

Ada beberapa prosedur pembedahan yang boleh anda pilih bagi menangani masalah kecederaan rawan bergantung pada keterukan masalah anda. Antara yang popular adalah microfracture - teknik yang mengalakkan penumbuhan rawan baru. Ia adalah teknik paling umum yang menggunakan prosedur arthroskopik. Kawasan rawan yang terjejas ditebuk membolehkannya berdarah. Walaupun teknik ini mampu menghasilkan rawan baru tetapi ia tidak boleh bertahan lama dan tidak memiliki ketahanan dan kekuatan seperti mana rawan asal.

Satu lagi teknik yang hangat diperkatakan adalah penggunaan sel stem bagi menjana pertumbuhan rawan baru yang menyamai rawan asal. Bagaimanapun, kajian dan penyelidikan mengenainya masih baru justeru penggunaan sel stem dalam memulihkan rawan masih terlalu jauh untuk diperkatakan.

Friday, January 14, 2011

Masalah Kulit Si Manja

Kulit bayi begitu halus dan sensitif terutamanya selepas kelahiran. Keadaan ini memerlukan penjagaan dan belaian yang khusus agar dapat mengelakkan ruam yang timbul akibat penggunaan bahan kimia dalam sabun, syampu dan lain-lain, jangkitan kuman dan keadaan cuaca.

Adakah anda patut mendapatkan nasihat doktor setiap kali bayi anda menunjukkan tanda ruam pada kulit badannya? Untuk menyentuh secara menyeluruh masalah kulit yang mungkin wujud pada bayi adalah mustahil di dalam artikel yang ringkas ini. Walau bagaimanapun, berikut dibincangkan antara masalah kulit yang sering timbul pada bayi.

Ruam Panas

Apabila pori kulit bayi menjadi tersumbat maka berlakulah ruam panas. Penyumbatan tersebut mungkin disebabkan oleh pakaian bayi yang terlalu tebal, ketiadaan pengudaraan bilik yang sesuai, penggunaan produk penjagaan kulit yang tidak serasi seperti minyak bayi, losen dan bedak yang berlebihan. Ruam panas sering timbul seperti bintil merah yang kecil terutamanya pada pelipat kulit seperti di leher, bahu, kawasan lampin dan juga di bahagian pipi.

Keadaan ini selalunya tidak menyebabkan ketidakselesaan yang begitu ketara dan akan berlalu dengan cepat jika tidak di rumitkan oleh masalah lain seperti jangkitan kuman. Elakkan dari terlampau memakaikan pakaian yang tebal dan menutup pada bayi. Baju yang nipis yang dibuat oleh bahan yang mudah menyerap (kain kapas) sesuai di pakaikan pada bayi. Pastikan pengudaraan bilik berada di dalam keadaan sempurna dan sebolehnya adakan pergerakan udara seperti memasang kipas angin. Lapkan badan bayi apabila ia berpeluh dengan kain bersih yang lembap. Mandikan sekerap yang perlu.

Ruam Lampin

Ruam ini berlaku apabila dibiarkan permukaan kulit bayi lama bersentuh dengan najis atau air kencingnya. Kuman di dalam najis tadi akan bertindak balas dengan air kencing untuk membentuk sebatian ammonia yang boleh menyebabkan iritasi pada kulit. Keadaan kulit kelihatan bertompok merah dan membentuk radang.

Kadangkala berlaku jangkitan dengan adanya bintil kecil yang bernanah. Ianya berlaku di kawasan lampin yang begitu sensitif. Krim yang bertindak sebagai lapisan pemisah seperti yang mengandungi Zink dioksida boleh disapukan pada kulit bahagian lampin untuk mengelakkan ruam tersebut. Tukarkan lampin sekerap yang perlu. Kadangkala adakan masa di mana bayi tidak dipakaikan lampin untuk membenarkan permukaan kulit tersebut bernafas. Jika anda memakaikan lampin kain, pastikan ada ketika yang anda tidak pakaikan pelapik plastik agar dapat memudahkan pernafasan kulit.

Apabila membasuh kain lampin, pastikan ianya dibilas dengan sempurna agar tiada bahan kimia saki baki dari bahan pencuci yang masih terlekat pada kain lampin tersebut. Mungkin juga anda perlu menukarkan kepada lampin pakai buang buat seketika. Basuh permukaan kulit bahagian lampin sekerap yang perlu dan elakkan dari menggunakan pencuci tisu lap pakai buang yang mengandungi alkohol kerana ianya bertindak mengeringkan kulit bayi.

Elakkan dari memakai bedak dengan terlalu tebal kerana bedak tersebut akan memerangkap air kencing atau najis dan menyukarkannya dari proses penyejatan secara semula jadi. Ruam lampin kadangkala boleh dikomplikasikan dengan jangkitan kulat. Keadaan ini dikenali apabila ruam lampin tadi tidak lagi sembuh dengan cara-cara penjagaan seperti di atas. Kulit akan menjadi lebih merah, nipis dan kadangkala seperti melecet. Bayi akan merasa begitu tidak selesa. Keadaan ini memerlukan rawatan dengan menyapukan krim anti fungal pada bahagian tersebut.

Atopik Ekzema/ Dermatitis

Keadaan ini wujud disebabkan masalah hipersensitif atau alahan pada kulit bayi. Ianya mungkin diwarisi dan selalunya kanak-kanak tersebut mudah mendapat masalah hipersensitif yang lain seperti resdung, gatal-gatal mata dan lelah asthma. Kulit bayi akan kelihatan merah, kering dan bersisik. Ianya selalunya terjadi pada permukaan kulit di bahagian muka terutamanya di pipi, pelipat antara sendi seperti di siku, lutut, pergelangan tangan dan kaki dan juga di bahagian atas peha. Keadaan ini mengakibatkan kegatalan kulit yang ketara dan menyebabkan bayi sering tergaru-garu sehinggakan kulit tadi menjadi merah dan melecet. Ini juga boleh menyebabkan kulit menjadi tebal (lichenifikasi) atau kulit menjadi pecah dan jangkitan kuman boleh berlaku. Kulit menjadi kering dan kasar apabila disentuh.

Langkah pencegahan perlu diambil dengan mengenal pasti punca alahan terlebih dahulu. Antara faktor yang mungkin menyebabkannya ialah habuk, hama, polusi udara, pemakanan dan bahan kain pakaian. Makanan yang mempunyai protein binatang (terutamanya makanan laut) dan bahan kimia (bahan pewarna, pengawet dan perisa) perlu di kenal pasti dan dielakkan. Kajian menunjukkan bayi yang diberi susu ibu sehingga 6 bulan jarang mendapat masalah ekzema. Jika di berikan susu formula, anda mungkin dapat menggunakan susu yang dibuat oleh protein tumbuhan untuk menggantikan susu lembu. Elakkan dari produk tenusu sehinggalah bayi berumur setahun jika terdapat sejarah ekzema dalam keluarga. Dapatkan nasihat doktor jika keadaan menjadi lebih teruk.

Potongkan kuku bayi dan pakaikannya sarung tangan supaya ia tidak mencederakan kulitnya apabila menggaru di waktu malam. Elakkan keadaan yang terlalu panas atau sejuk kerana ia dapat memburukkan keadaan. Sentiasa kekalkan kelembapan pada kulit bayi. Ketika mandi, elakkan dari menggunakan sabun yang beralkali kerana ia mengeringkan kulit. Gunakan pelembap yang sesuai. Kadangkala krim yang mempunyai steroid yang rendah akan diberikan oleh doktor anda untuk mengatasi masalah tersebut tetapi awas, jangan digunakan secara berlebihan atau berterusan kerana ia boleh menipiskan kulit bayi di samping bahaya yang mungkin timbul jika diserap ke dalam badan. Pastikan kain bayi di bilas sempurna (kadangkala bilas kali kedua) untuk mengeluarkan bahan kimia dari sabun pencuci yang dipakai. Gunakan pakaian yang dibuat dari kain kapas dan elakkan menggunakan kain nilon ataupun bulu (wool).

Cradle Cap

Keadaan kulit kepala ini berlaku selalunya pada 10 minggu pertama bayi selepas lahir. Ia membentuk sisik kekuningan yang berminyak pada bahagian kulit kepala, dahi, muka, kening, belakang telinga dan di bahagian kemaluan. Faktor yang menyebabkannya tidak begitu di kenal pasti tapi dijangka ada kaitan dengan atopik ekzema, Cuma ianya berlaku pada kawasan yang berlainan. Ia selalunya tidak menyebabkan masalah yang serius. Sapukan minyak bayi atau zaitun pada kawasan yang berkerak semalaman sebelum dibasuh pada keesokan hari dapat membantu menanggalkan sisik tersebut. Basuh kepala dengan syampu dan beruskan rambut bayi dengan berus lembut.

Perlindungan Matahari

Kulit bayi yang sensitif dengan mudah dapat mengalami tanda kebakaran disebabkan oleh sinaran matahari yang terik. Jika kanak-kanak terdedah kepada masalah kulit terbakar oleh matahari, mereka akan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidapi kanser kulit ketika dewasa kelak. Kulit bayi perlulah dilindungi dari sinaran matahari yang tepat seperti dengan memakaikannya topi yang melindungi kulit muka dan leher ataupun dengan menggunakan payung. Bantuan dari krim pelindung matahari (sunblock) yang mempunyai SPF 20 sesuai digunakan.

Krim itu perlulah disapu secukupnya dengan mengelakkan bahagian mata, mulut dan tapak tangan/jari. Jika dimandikan, sapukan semula krim tersebut walaupun jika anda menggunakan krim yang kalis air. Dapatkan rawatan segera jika bayi anda mengalami kesan kebakaran oleh matahari. Pastikan anak anda minum air secukupnya ketika cuaca panas untuk mengelakkan masalah heatstroke dan untuk mengelakkan dari masalah dehidrasi atau kekurangan air. Ingatlah untuk sentiasa memastikan anak anda berada dalam keadaan teduh.

Impetigo

Ini merupakan jangkitan kuman Staphylococcus dan group A Streptococcus yang sering terjadi kepada kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah. Ia mudah berjangkit melalui sentuhan. Ia kerap terjadi di sekitar mulut dan hidung dan juga celah pelipat. Keadaan kulit dilihat seperti membentuk gelembung-gelembung air yang kecil dan seterusnya pecah dan kelihatan seperti kulit yang melecur. Ia akan mengeluarkan air dan membentuk kerak kulit berwarna perang kekuningan. Ia nya mudah dirawat dengan menggunakan antibiotik dan bahagian kulit dicuci dan di sapu dengan antiseptik. Elakkan dari penyentuhan kulit ke atas kanak-kanak lain seperti berkongsi tuala, kain lampin dan sebagainya. Selalunya ia mengambil lebih kurang 5 hari sebelum kering dan sembuh.

Kudis Buta

Ini merupakan sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh hama yang halus dan menjangkiti pada pori kulit manusia. Ia adalah penyakit yang berjangkit dan selalu berpunca dari jangkitan komuniti spt dari pelajar asrama. Scabies atau kudis buta perlu dirawat dengan sempurna untuk tidak menyebabkannya berulang lagi. Tandanya ialah bengkak seperti gelembung halus pada kulit terutamanya di tapak tangan/kaki, celah jari, ketiak, pelipat dan bahagian kemaluan. Ia tersangat gatal dan akan menjadi bernanah apabila dijangkiti kuman.

Untuk merawat kudis buta, perlu disapu dengan ubat racun hama spt EBB lotion atau Crotorax. Ia seelok-elok di lumur keseluruhan badan dari tengkuk ke bawah sebelum tidur malam. Lebih efektif jika dimandikan tubuh dengan air suam untuk membuka pori-pori kulit terlebih dahulu. Pembersihan segala pakaian dan perabot seperti sofa dan karpet yang dijemur di bawah matahari panas akan membuatkan hama tersebut keluar dari tempat persembunyiannya. Ubat tahan gatal akan membantu dari keadaan tergaru-garu pada malam hari.

Kudis Api

Kudis ini pula sering menjangkiti kulit di bahagian bawah lutut ke kaki. Ia disebabkan oleh jangkitan kuman dan mudah berjangkit. Ia nya kelihatan seperti bisul kecil yang mengeluarkan nanah atau lendirnya. Rawatan ialah dengan penjagaan kebersihan yang sempurna. Ubat seperti antibiotik membantu membunuh kuman. Ubat antiseptik seperti pembasuh luka dan krim juga boleh di gunakan pada kudis tersebut. Selalunya penyembuhan adalah menyeluruh dan jarang berulang semula kecuali aspek kebersihan di abaikan.