Artikel dari Utusan Online pada 05/12/2010. Setelah membacanya, saya rasa elok saya berkongsi..... mana tau ada kekawan yang tak sempat membacanya jadi bolehlah baca di sini bila ada kelapangan.
Sejak akhir-akhir ini saya rasa tak sedap badan. Dada asyik berdebar-debar dan mudah benar naik angin. Kadang-kadang perkara yang berlaku bukanlah besar sangat namun saya sangat cepat terasa. Kalau anak-anak tinggi suara sikit mulalah saya rasa kecil hati. Dengan cucu pun begitu. Padahal mereka budak budak lagi, bukan tahu apa apa namun saya mudah benar tersinggung.
"Mungkin sejak saya pencen saya jadi begitu. Masa bekerja dulu sentiasa sibuk, bila pencen duduk rumah banyak masa senggang, mungkin itu yang mempengaruhi emosi saya," keluh Puan Zai. Wanita berusia akhir 50-an itu masih aktif dan bergaya.
"Puan Zai rasa tak sedap badan?" Saya bertanya. "Memang doktor, saya rasa panas dan berpeluh sampai melekit. Tapi bahang panas datang tak tentu masa. Kejap datang dan dalam beberapa jam ia hilang. Tak tentu rasa di buatnya. Kaki pula berasa lenguh dan tulang macam sengal-sengal," jelas Puan Zai. Saya seterusnya bertanya beliau tentang aktiviti sehariannya. Menurut Puan Zai, pergerakannya menjadi lambat. Beliau memikirkan masalah tersebut hanya disebabkan usia yang semakin meningkat.
"Ada sebab lain ke doktor? Lagi satu saya cepat rasa sepi. Kadang kala saya menitis air mata apabila hati terasa duka dan terluka. Bila saya fikirkan tiada sebab-sebab yang sepatutnya namun hati saya mudah tersentuh. Hati rasa sepi dan sunyi. Semasa bekerja dulu saya seorang yang periang. Adakah ini faktor psikologi dan harus dilalui oleh semua wanita dalam peringkat umur sebegini?" tanya beliau lagi.
Puan Zai juga menyatakan kebimbangan mengenai masalah sukar tidur dan berat badan yang semakin meningkat. Katanya, beliau sering bersenam dan menjaga pemakanan namun lemak yang berkumpul semakin banyak serta sukar menurunkan berat badan.
Saya takut menjadi gemuk dan obes. Setiap kali memandang cermin, saya seolah-olah kehilangan diri sendiri. Perubahan menjadi ketara pada wajah. Saya tampak hodoh dan wajah menjadi lebar. Satu waktu dahulu saya gemar bergaya dan berhias namun kini dunia saya sudah hilang.
"Apakah ini satu takdir saya menjadi tua, gemuk dan tidak menarik lagi?" keluh Puan Zai.
Bagi saya apa yang di suarakan oleh Puan Zai adalah sesuatu yang jujur dan ikhlas dari hatinya.
Semua orang takut untuk menjadi tua. Bila usia meningkat banyak perkara yang mula bermain di minda kita. Apabila memandang cermin dan terlihat garis garis halus pada wajah kebanyakan wanita akan mula diburu kebimbangan. Lalu pelbagai cara dilakukan bagi mengurangkan kesan penuaan tersebut.
Ramai yang berkunjung ke pusat kecantikan bagi menghilangkan pigmentasi, kedutan dan mengembalikan ketegangan wajah. Namun sebab sebenar yang mencetus masalah ini ialah kekurangan hormon di dalam badan. Ramai wanita menganggap simptom menopaus sebagai faktor psikologi semata-mata. Ternyata ia tidak benar. Sebaliknya ia merupakan faktor fisiologi yang melanda tubuh kita. Gangguan emosi dan perubahan fizikal boleh dirawat dengan ujian paras hormon dan menambahkan semula hormon yang tiada. Menopaus bagaikan nyanyian sepi dalam hati wanita. Apabila era menopaus muncul dalam diri seseorang perasaan akan mudah terganggu dan hati menjadi mudah terasa. Kenapakah ini berlaku?
Kitaran tubuh amat dipengaruhi oleh hormon yang merangsang minda, jiwa dan tenaga kita. Apabila seorang wanita didatangi haid buat pertama kalinya kitaran hormon dalam tubuhnya mula berfungsi dan berkembang. Pada waktu ini seorang gadis akan berkembang menjadi wanita yang sempurna. Tenaga serta kecantikannya meningkat apabila di puncak perkembangannya. Apabila paras hormon merosot seorang wanita akan mula kehilangan kecantikan dan tenaganya. Inilah yang dikatakan era pra menopaus dan post menopaus.
Pada usia 25 tahun hormon di dalam tubuh kita mula berkurangan dan akan terus berkurangan sehinggalah usia seseorang itu mencapai 35 tahun. Selepas usia tersebut kadar pengurangan hormon akan menjadi lebih ketara lagi. Kemerosotan hormon dalam tubuh menyebabkan kita mengalami pelbagai tekanan dari segi emosi dan juga fizikal. Hormon sering dipandang remeh oleh kebanyakan orang. Apabila haid tidak menentu hormon dipersalahkan. Ini menyebabkan berlaku salah faham dan tanggapan negatif mengenai hormon dan tugasnya di dalam tubuh kita.
Di sini saya ingin menjelaskan bahawa gangguan yang dimaksudkan bermakna tidak cukup hormon di dalam badan dan bukan kerana hormon merbahayakan tubuh badan kita. Sebenarnya hormon merupakan entiti yang sangat penting dan memainkan peranan mustahak bagi kehidupan kita. Tanpa hormon segala proses metabolik akan terganggu.
Hormon tyroxine misalnya meningkatkan metabolisme tubuh. Seseorang yang kurang thyroxine akan mengalami masalah berat badan meskipun makan sedikit. Individu yang kurang hormon ini juga mempunyai kulit kasar, rambut gugur serta kekurangan tenaga menyebabkan selalu keletihan.
Hormon insulin pula terlibat dalam metabolisme gula dan juga membolehkan gula digunakan di dalam sel sebagai tenaga. Tanpa insulin sel tidak dapat menggunakan tenaga. Ini menyebabkan seseorang yang kurang insulin kelihatan lesu dan tidak bermaya. Insulin merupakan sejenis hormon dan masalah kencing manis sebenar nya merupakan gangguan hormon di dalam tubuh kita.
Melatonin merupakan hormon yang penting bagi membolehkan kita tidur lena. Gangguan hormon melatonin membuatkan seseorang tidak lena tidur dan mendapat insomnia. Hormon ini penting bagi mengelakkan penyakit nyanyuk atau pelupa.
Estrogen dan Progesteron pula merupakan hormon seks yang mustahak bagi kesejahteraan wanita.
Saya menasihatkan wanita 40 tahun ke atas memandang serius tahap hormon di dalam tubuh yang semakin berkurangan. Hormon bukan saja berkait rapat dengan kitaran haid dan menopaus wanita. Ia amat penting kerana ia mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan dan kecantikan kita.
Penggunaan hormon dengan nasihat doktor yang berpengalaman dalam bidang ini akan merubah hidup anda. Bukan sahaja kesihatan menjadi lebih baik, anda juga kelihatan lebih cantik dan muda semula. Pengetahuan sains perubatan yang tinggi membolehkan kita menikmati hidup lebih berkualiti di usia tua dengan terapi peningkatan hormon di dalam badan. Justeru persepsi kita terhadap hormon harus berubah ke arah yang lebih positif.
Hormon harus diberi perhatian yang sewajarnya dan perkongsian ilmu sebegini adalah mustahak bagi kita sama-sama melahirkan masyarakat Malaysia yang sihat dan sejahtera.
Artikel dari Utusan Online pada 05/12/2010
No comments:
Post a Comment