Thursday, January 13, 2011

Ancaman Osteoporosis

Saya terjumpa artikel ini dalam satu folder yang saya simpan mengenai penyakit dan kesihatan. Artikel yang menarik untuk dibaca dan boleh menjadi asas untuk bertanyakan doktor jika kita atau saudara mara menghadapi simpton penyakit ini. Saya gagal menjumpai siapakah yang menulis artikel ini. Walau bagaimanapun saya amat berterima kasih kepada beliau untuk berkongsi ilmu ini, semoga Allah sahaja yang membalas budi baik mereka.

OSTEOPOROSIS? Ini penyakit wanita menopaus, kata seorang teman. Berdasarkan soal selidik, lelaki di negara maju seperti Amerika Syarikat juga menganggap osteoporosis adalah penyakit khusus wanita.

Siapa kata osteoporosis hanya menyerang wanita? Kajian di seluruh dunia menunjukkan kes keretakan tulang akibat masalah tulang rapuh atau osteoporosis meningkat di kalangan lelaki, walaupun secara keseluruhan lebih banyak kejadian berlaku pada wanita.

Masalah keretakan tulang, terutama pada pinggul, bawah tulang belakang dan pergelangan tangan, tidak boleh dipandang ringan. Meskipun soal selidik ke atas 1,045wanita mendapati 54 peratus berpendapat kanser payudara diikuti penyakit kardiovaskular atau jantung (38 peratus) lebih berbahaya, hakikat sebenarnya osteoporosis boleh mengakibatkan lebih banyak masalah kepada kehidupan.

Pakar kesihatan kini mengklasifikasikan osteoporosis sebagai epidemik global yang mengancam semua orang, terutama warga emas di seluruh dunia; dengan kadar kelaziman satu kes bagi setiap tiga wanita dan setiap lapan lelaki. Maknanya di kalangan lapan lelaki, seorang akan mendapat masalah osteoporosis. Namun sehingga kini masih ramai tidak menganggapnya sebagai ancaman kesihatan yang membimbangkan kerana osteoporosis tidak menunjukkan tanda sehingga seseorang itu mengalami keretakan tulang. Hasil soal selidik menunjukkan hanya lapan peratus daripada lebih 1,000 responden menganggapnya sebagai ancaman kepada kesihatan.

Hakikatnya, sebanyak 1.5 juta kes osteoporosis dilaporkan setiap tahun berbanding 500,000 kes serangan jantung; 240,000 kes strok dan 180,000 kes barah payudara. Yang membimbangkan ialah, 20 peratus daripada 1.5 juta kes ini berakhir dengan kematian dan 30 peratus lagi menyebabkan kehilangan keupayaan bergerak, kata Presiden Yayasan Osteoporosis Asia Pasifik, Dr Edith Lau. Beliau yang juga Pengarah Pusat Rawatan dan Penyelidikan Osteoporosis Hong Kong menegaskan, keretakan tulang paling banyak berlaku di pinggul dan ini menyebabkan ramai pesakit hilang keupayaan bergerak dan terpaksa bergantung kepada bantuan orang lain untuk menguruskan kehidupan harian.

Yang membimbangkan ialah insiden osteoporosis dan keretakan tulang lebih tinggi di kalangan penduduk Asia. Dianggarkan sebanyak 1.8 juta kes (54 peratus penduduk Asia) berlaku pada lelaki dan 4.5 juta kes (51 peratus pada wanita Asia) menjelang 2050.

Masalah utama ialah meyakinkan orang bahawa ini adalah satu ancaman kesihatan. Ramai orang beranggapan osteoporosis hanya berlaku pada orang lain dan tidak akan terjadi pada mereka. Sedangkan semua orang ada risiko mendapat osteoporosis, apatah lagi jika mereka mengamalkan gaya hidup kurang sihat,” katanya ketika Persidangan Kesihatan GE, baru-baru ini.

Risiko jangka panjang keretakan tulang akibat osteoporosis juga membimbangkan kerana dalam kebanyakan kes pesakit hilang keupayaan bergerak dan menyebabkan mereka terlantar. Kesannya, tahap kesihatan menjadi lebih buruk, apatah lagi jika pesakit menghidap penyakit lain.

Kajian osteoporosis ke atas lelaki juga dijalankan di beberapa negara Asia. Keretakan tulang pinggul di kalangan lelaki Korea meningkat empat kali ganda pada 2001 berbanding 1991, di Jepun pula bilangan kes meningkat 1.6 kali ganda berbanding 1.5 kali pada wanita (data 2005) manakala di Singapura mencatat 1.5 kali ganda di kalangan lelaki dan lima kali ganda pada wanita bagi setiap 100,000 penduduk laporan 2005). Baik bagi wanita mahupun lelaki; peningkatan usia, pemakanan dan gaya hidup menjadi antara faktor risiko osteoporosis. Semakin lanjut usia seseorang, semakin tinggi risiko mendapat penyakit ini dan tulang menjadi lebih cepat rapuh jika merokok, tidak bersenam dan kurang memberi penekanan terhadap penjagaan makanan.

Tulang kita sentiasa mengalami perubahan dan proses pembentukan semula. Pada kanak-kanak, proses pembentukan tulang berlaku dengan cepat yang membolehkan mereka menjadi besar dan tinggi. Pada kebanyakan orang, proses ini mencapai kemuncaknya pada umur 30 dan selepas itu jisim tulang berkurang secara perlahan-lahan.

Apabila umur meningkat, kita mengalami proses kehilangan jisim tulang. Kehilangan ini berlaku pada kadar tiga peratus setahun selepas wanita menopaus atau 60 tahun bagi lelaki. Namun ada juga pakar berpendapat selepas berumur 50 tahun, enam peratus lelaki mengalami keretakan tulang pinggul dan lima peratus lagi mendapat keretakan tulang belakang akibat osteoporosis.

Memang kes osteoporosis lebih banyak berlaku pada wanita kerana lelaki mempunyai rangka tulang lebih besar. Kehilangan jisim tulang lelaki berlaku lebih perlahan. Pun begitu, kesan osteoporosis sama ke atas lelaki dan wanita. Lelaki osteoporosis yang mengalami keretakan tulang juga boleh hilang keupayaan bergerak jika keretakan berlaku pada tulang pinggul atau belakang.

Lelaki dalam lingkungan 50 tahun tidak mengalami kemerosotan jisim tulang secepat wanita menopaus, tetapi apabila mereka memasuki umur 65 hingga 70 tahun, kadar kehilangan tulang mereka sama seperti wanita. Malah penyerapan kalsium dan lain-lain nutrien penting untuk kesihatan tulang juga sama. Bahkan mungkin jauh lebih buruk jika mereka kuat merokok kerana nikotin dan bahan kimia beracun di dalam asap rokok menghalang penyerapan kalsium.

Faktor risiko osteoporosis pada lelaki adalah seperti berkut:

• Penyakit kronik yang berlaku pada buah pinggang, paru-paru, perut, usus dan perubahan paras hormon
• Pengambilan sesetengah jenis ubat secara berpanjangan
• Masalah kekurangan paras hormon testosteron yang tidak disedari dan tidak dirawat
• Gaya hidup kurang sihat (merokok, minum banyak minuman beralkohol, kurang pengambilan kalsium dan tidak cukup bersenam)
• Peningkatan umur

Osteoporosis primer disebabkan masalah penuaan atau disebabkan masalah kesihatan sejak lahir. Manakala osteoporosis sekunder iaitu masalah reput tulang yang diakibatkan gaya hidup, penyakit atau pengambilan rawatan tertentu dan lebih banyak kes berlaku di bawah kategori ini. Antara punca osteoporosis sekunder pada lelaki ialah:

• Pengambilan ubat glukokortikoid dan ubat imunosupresif iaitu ubat mengurangkan rintangan tubuh terhadap jangkitan
• Hipogonadisme (paras testosteron yang rendah)
• Merokok — Kehilangan tulang lebih cepat pada lelaki perokok kerana kandungan racun dalam rokok (termasuk nikotin dan bahan kimia lain) menghalang penyerapan kalsium
• Pengambilan berlebihan minuman beralkohol
• Asma dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD; akibat merokok)
• Penyakit usus
• Artritis reumatoid dan ankilosing spondilitis
• Terlantar
• Penyakit neoplastik (ketumbuhan kanser atau bukan kanser)
• Hiperkalsiuria (kehilangan kalsium melalui air kencing)

Sehingga kini tiada kaedah khusus untuk mencegah osteoporosis, tetapi risikonya boleh dikurangkan dengan mengamalkan pemakanan seimbang, gaya hidup sihat, banyak bersenam termasuk senaman mengangkat beban, serta menjalani pemeriksaan ketumpatan tulang secara berkala.

Dr Lau berkata, saringan ketumpatan tulang sebaik-baiknya dimulakan selepas menopaus bagi wanita dan apabila mencecah umur 60 tahun bagi lelaki. Meskipun ia tidak dapat menghentikan proses kemerosotan jisim tulang, kaedah ini membolehkan kita mengambil langkah berjaga-jaga dan mengelak keretakan tulang.

Selain itu beberapa langkah lain boleh diambil untuk meningkatkan kesihatan tulang iaitu:

• Mengambil makanan tambahan kalsium dan vitamin D boleh mengurangkan kadar kehilangan dan keretakan tulang di kalangan wanita dan lelaki dewasa serta warga tua
• Melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan memberi kesan positif kepada kesihatan tulang
• Dalam kajian terdahulu, amalan pemakanan kaya protein didapati boleh melambatkan proses pereputan tulang di kalangan warga tua
• Bagi kanak-kanak dan remaja pula, pemakanan tambahan kalsium, produk tenusu kaya kalsium atau susu meningkatkan kadar penambahan mineral tulang
• Kerap bersenam, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu; 20 hingga 30 minit setiap sesi disertakan senaman mengangkat beban. Tidak perlu pergi ke gimnasium kerana senaman dengan mengangkat botol air satu liter juga boleh memberi kekuatan kepada tulang.

No comments:

Post a Comment