Thursday, January 20, 2011

Betulkan penglihatan

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

TERASA bebas, lapang dan dunia dirasakan lebih terang, komen seorang teman yang baru sebulan menjalani pembedahan ‘laser in situ keratomileusis’ atau LASIK selepas hampir 15 tahun memakai kaca mata dan kanta lekap bersilih ganti. LASIK adalah pembedahan untuk membetulkan masalah penglihatan yang membabitkan kornea seperti rabun dekat (myopia), rabun jauh (hiperopia) dan astigmastisma (lengkungan kornea tidak sekata yang menjejaskan penglihatan dekat dan jauh).

Ia dikategorikan sebagai prosedur pesakit luar kerana pembedahan ini mengambil masa kira-kira 15 minit saja. Sehingga kini, berjuta-juta orang mendapat faedah daripada pembedahan LASIK yang bukan saja membebaskan mereka daripada belenggu kaca mata, bahkan dapat memperbaiki penampilan yang secara tidak langsung meningkatkan keyakinan.

Walaupun menggunakan laser, LASIK adalah pembedahan yang selamat. Mata seseorang diperiksa terlebih dulu, terutama tekanan dalam mata (menggunakan tonometer), kelengkungan kornea (alat: keratometer) dan ketebalan kornea (alat: pacimeter) bagi memastikan anda layak menjalani pembedahan ini. Secara ringkasnya, pembedahan ini dilakukan dalam keadaan pesakit sedar. Alat pemegang kelopak mata (spekulum) diletakkan di atas mata bagi memastikan mata sentiasa terbuka dan mengelak anda mengelip.

Satu gelang khas dimasukkan supaya menstabilkan kornea dan menyediakan mata untuk pembedahan. Dalam pembedahan ini bentuk kornea dibetulkan supaya penglihatan pesakit menjadi lebih jelas.

Menurut Ketua Pembedahan Kornea dan Refraktif Pusat pakar Mata Antarabangsa (ISEC), Dr Michae Law, oleh kerana pembedahan LASIK dilakukan dalam keadaan pesakit sedar, mata pesakit akan bergerak (berputar). Putaran antara tiga hingga 19 darjah (had maksimum) akan menjejaskan hasil pembedahan, terutama bagi pesakit yang mempunyai masalah rabun jauh dan astigmatisme teruk.

Katanya, putaran mata ketika pembedahan boleh mengurangkan jangkaan hasil pembedahan pada pesakit melalui teknologi kawalan pengesanan mata yang canggih. Ini adalah teknologi yang boleh mengesan putaran bebola mata secara aktif ketika pembedahan dijalankan.

“Kaedah ini membolehkan doktor mengawal pergerakan mata pada semua arah. Pengesanan ini memberi hasil pembedahan lebih tepat dan selamat kerana pergerakan anak mata dipantau dan doktor boleh menghalakan sinaran laser secara tepat di bahagian kornea yang dikehendaki. Malah, rawatan boleh dihentikan serta merta jika mata berputar melebihi had ditetapkan.

“Jika dulu, tanpa kaedah moden ini, doktor biasanya tidak menggalakkan pesakit yang alami masalah rabun jauh dan astigmatisme tinggi untuk jalani pembedahan,” katanya ketika pelancaran teknologi Kawalan Pengesanan Mata Lanjutan Zyopix (ACE).

Sebelum ada teknologi ACE, peralatan yang digunakan hanya boleh mengesan pergerakan bebola mata yang menegak atau melintang. Jadi hasil pembedahan tidak sebaik jika dibandingkan dengan teknologi pengesanan ACE.

Siapa yang sesuai menjalani LASIK:
• Bebas daripada penyakit mata
• Masalah penglihatan ada dalam had yang boleh dibetulkan
• Kuasa kaca mata atau kanta sentuh stabil sekurang-kurangnya dalam masa setahun kebelakangan
• Berumur 18 tahun ke atas

Keadaan yang tidak layak untuk pembedahan LASIK:
• Jika kornea terlalu nipis
• Mempunyai masalah kesihatan lain
• Rabun terlalu teruk atau kuasa kaca mata sangat tinggi
• Hamil (kerana perubahan hormon boleh menyebabkan kuasa cermin mata berubah). LASIK bukan pembedahan yang perlu dilakukan segera, jadi ia boleh ditangguhkan sehingga selepas tamat pantang.

Kata Dr Law, pesakit kencing manis yang terkawal dan tiada masalah mata boleh menjalani pembedahan LASIK. Bagaimanapun, mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan yang terperinci terlebih dulu.

Malah, bagi individu yang memakai kanta lekap, mereka dinasihatkan tidak memakainya buat sementara sebelum menjalani pembedahan kerana kanta lekap boleh mengubah bentuk kornea.

Pada masa sama, elak memakai mekap mata sebelum dan pada hari pembedahan kerana ia boleh mengganggu rawatan dan meningkatkan risiko jangkitan.

Kesan sampingan yang sering dilaporkan (akan hilang selepas tempoh tertentu)
• Mata kering
• Silau
• Punca cahaya (contohnya lampu) kelihatan berbaur
• Penglihatan pada waktu malam agak kabur
• Sensitif pada cahaya

“Selepas pembedahan, mata pesakit berasa tidak selesa (sama ada panas, gatal atau seolah-olah ada sesuatu di dalam mata) selama beberapa jam. Untuk mengelak jangkitan atau keradangan, doktor akan memberi cecair titis untuk digunakan setiap hari selama beberapa hari.

“Malah, anda juga mungkin diberi pelindung mata untuk dipakai ketika tidur bagi beberapa hari selepas pembedahan. Ia bertujuan mengelak anda menggosok mata secara tidak sengaja,” katanya.

Sejurus selepas pembedahan, penglihatan masih kabur dan semakin baik keesokan harinya. Pesakit dikehendaki datang semula untuk pemeriksaan susulan dan ramai berpuas hati dengan penglihatan mereka selepas pelindung mata ditanggalkan.

Untuk beberapa hari pertama, pesakit dinasihatkan memakai kaca mata hitam bagi mengelak masalah sensitif pada cahaya. Pesakit tidak dibenarkan berenang, berendam dalam mandian panas atau di jakuzi dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu. Anda juga tidak digalakkan memandu sehingga pandangan benar-benar terang.

Namun paling penting, jangan gosok mata anda. Jika anda mengalami mata berasa tidak selesa, sakit atau merah, segera berjumpa doktor mata.

Dah beberapa kali saya terfikir untuk jalinan pembedahan untuk membrtulkan penglihatan saya, tapi yang jadi masalahnya saya sangat takut untuk menjalani pemebedahan kerana membayangkan ada objek yang akan memasuki mata. Saya dengar semasa pembedahan itu dijalankan kita celek dan nampak prosedur yang dijalankan.

No comments:

Post a Comment