POKOK daun kari (dalam bahasa Inggeris curry leaves) adalah termasuk dalam kelompok rempah ratus yang terkenal di kalangan masyarakat kita. Penggunaannya sangat meluas sebagai perasa dalam masakan berasaskan kari bagi masyarakat India dan juga Melayu. la juga dikenali sebagai daun karepulei dan boleh dikatakan sinonim dengan lauk kari yang merupakan ciri khas bagi masakan India (mamak).
Baunya yang enak dan wangi menyebabkan ia sebagai pembuka selera kepada para penggemar masakan tersebut. Selain sebagai perasa, sebenarnya banyak lagi khasiat daripada daun kari terutama dalam bidang perubatan dan farmaseutikal yang dapat diketengahkan kepada masyarakat. Pokok daun kari atau nama saintifiknya Murraya koenigii adalah sejenis tumbuhan renek dengan ketinggian mencapai sehingga 5 meter. Tumbuhan ini tergolong dalam genus Murraya dari famili Rutaceae yang mempunyai sekitar 150 genera dan 1,600 spesies.
Di Semenanjung Malaysia hanya terdapat dua spesies dari genus Murraya, iaitu Murraya koenigii (daun kari) dan Murraya paniculata (pokok kemuning). Dari semenjak dahulu lagi, daun kari telah digunakan secara meluas terutama untuk dijadikan perasa semula jadi dalam masakan di benua kecil India serta Sri Lanka. Mengikut sejarah, daun kari telah diperkenalkan di Semenanjung Malaysia oleh para pendatang dari India Selatan (kebanyakannya masyarakat Tamil) yang berhijrah ke Tanah Melayu ketika era British lagi. Setelah beberapa ketika, kini daun kari boleh didapati secara meluas di negara ini serta ditanam dihala- man rumah serta sekitar kampung.
Tumbuhan ini mempunyai bunga yang berwarna putih dan berbentuk loceng. Buahnya berbentuk bujur, hijau semasa muda dan merah apabila masak. Daunnya tunggal dan berwarna hijau. Daun sebaran yang terdapat di tangkainya adalah di antara 15-18 helai serta berbentuk bujur telur dan runcing di hujungnya. Di benua kecil India pokok ini telah lama digunakan dalam rawatan perubatan tradisional. Antara bahagian yang sering digunakan untuk tujuan tersebut ialah daun, buah, batang dan akar.
Daunnya digunakan untuk merawat kebengkakan atau benjolan dengan cara menyapukan daun yang telah dikisar bersama sedikit air pada bahagian tersebut. Sementara jus dari akarnya dapat digunakan untuk menyembuh penyakit buah pinggang. Selain itu, daun kari juga dipakai untuk merawat sakit perut, sembelit, cirit-birit, muntah-muntah, terkena patukan ular, menghilangkan ruam di kulit, masalah rambut beruban, menghitamkan rambut serta menghilangkan loya bagi wanita yang mengandung.
Kajian secara saintifik yang telah dijalankan di Jabatan Kimia dan Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM) menunjukkan pokok kari mengandungi pelbagai kelas sebatian kimia semula jadi yang dapat memberikan sifat keaktifan biologi. Daunnya yang berbau harum adalah disebabkan kandungannya yang kaya dengan minyak pati (essential oils), Minyak pati merupakan campuran pelbagai konstituen kimia dari kelas monoterpena, seskuiterpena dan diterpena,
Di antara kandungan minyak pati dari daun kari termasuk kariofi1ena, elemena, osimena, kadinena, selinena, bisabolena dan felandrena, Ciri utama minyak pati adalah kemudahannya untuk meruap apabila bahan tersebut dipanaskan sa- ma ada melalui pendidihan atau pengewapan. Selain mempunyai bau harum yang sesuai digunakan sebagai bahan perisa, minyak pati juga mempunyai sifat umum sebagai bahan antibakteria, Selain dari daun yang mengandungi minyak pati, bahagian lain seperti kulit batang dan akar juga mengandungi bahan kimia semula jadi dari kelas lain.
Kandungan utama yang telah diperoleh yang menarik sebagai ba- han kajian saintifik adalah sebatian yang termasuk dalam kelas alkaloid indol. Alkaloid pula merupakan sebatian yang mengandungi atom nitrogen serta bersifat sebagai bes. Di antara alkaloid yang telah dikenal pasti ialah mahinimbin, girinimbin, murayasin, mahinin, murayanin, murayafolin, metilkarbazol dan murayazolin. Kajian lanjutan menunjukkan sebahagian daripada sebatian ini mempunyai kesan sitotoksik (merencatkan tumbesaran sel kanser) terhadap beberapa jenis sel dari tisu manusia. Di samping itu, sebatian jenis ini juga didapati berkesan dalam menghalang pertumbuhan sejenis ameba yang menyerang mata manusia.
Dari perhatian ini jelaslah bahawa pokok kari bukan sahaja dapat digunakan sebagai bahan perisa yang sememangnya popular di kalangan masyarakat kita, tetapi juga merupakan sumber bahan mentah untuk penyediaan sebatian-sebatian yang menarik dalam bidang farmaseutikal. Kesedaran masyarakat mengenai perkara ini bukan hanya akan meningkatkan nilai komersial dari pokok kari, tetapi juga terhadap bahan rempah ratus lain yang memang telah lama digunakan dan banyak terdapat di sekeliling kita.
Artikel ini ditulis oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Aspollah Sukari, Jabatan Kimia, Fakulti Sains UPM, Serdang, Selangor
No comments:
Post a Comment