Sunday, January 2, 2011

10 gelas air sehari

Saya nak berkongsi dengan artikel ini yang saya dapat dari email yang dihantar oleh seoranng teman. Puncanya tak pasti dari mana, tetapi artikel ini berguna untuk kegunaan harian. Sila baca dan amalkan.

ANTARA saranan asas yang sering diberikan pakar perubatan dan pemakanan ialah minum banyak air iaitu sekurang-kurangnya lapan hingga 10 gelas atau dua liter sehari untuk mengekal dan meningkatkan kesihatan.

Bagaimanapun untuk minum air sebanyak itu bukan mudah kerana ia bermakna kita kerap berulang ke tandas dan bagi sesetengah orang, terutama yang berumur, ia sungguh menyusahkan dan dianggap masalah atau gangguan. Malah, ada orang bimbang mereka mengalami masalah kesihatan tertentu jika kerap buang air kecil. Pada kebiasaannya, pundi kencing dikosongkan setiap empat jam. Jadi buang air kecil enam hingga tujuh kali sehari adalah perkara normal bagi individu sihat yang minum air secukupnya.

Pundi kencing bertindak sebagai tempat menyimpan air kencing dan boleh mengembang untuk menampung sehingga 350 hingga 550 militer air kencing.
Kita biasanya terasa hendak buang air kecil apabila kandungan pundi kencing lebih kurang 200 mililiter, tetapi kapasiti normal ialah sekitar 400 mililiter. Yang tidak normal ialah jika anda kerap bangun malam untuk buang air kecil.

Kerap buang air kecil pada siang adalah perkara baik kerana ia proses semula jadi untuk menyingkirkan sisa toksik dan bahan buangan dari badan. Minum air sekurang-kurangnya lima gelas sehari boleh mengurangkan risiko kanser usus sebanyak 45 peratus, kanser payudara (79 peratus) dan kanser pundi kencing (50 peratus).

Walaupun tahu kepentingan dan manfaat air, tidak ramai sanggup berulang alik ke tandas. Mereka bukan saja minum sedikit, tetapi turut mengelak makanan yang mengandungi banyak air. Sumber air kita datang daripada minuman (47 peratus), makanan (39 peratus) dan proses metabolisme di dalam sel (14 peratus).

Menurut Pakar Air Bertauliah Persatuan Kualiti Air (WQA), Michael Long, kekurangan air adalah punca utama keletihan pada waktu siang yang boleh menyebabkan pernafasan menjadi pendek, sakit perut, kebas dan risau tanpa sebab munasabah.

Mengantuk selepas makan tengah hari adalah petanda penting badan kita kekurangan air. Air diperlukan untuk proses pencernaan dan metabolisme makanan. Untuk menjalankan proses ini, badan mengambil air daripada sel badan (termasuk darah).

Oleh kerana air membabitkan dua komponen iaitu dua molekul hidrogen dan satu molekul oksigen (H2O); apabila ia digunakan untuk proses pencernaan, bekalan oksigen ke otak berkurangan. Ini sebabnya kita berasa mengantuk, letih dan sukar menumpukan perhatian kepada kerja selepas makan.

Air penting untuk melarutkan hasil sampingan metabolisme seperti asid urik dan urea yang diangkut oleh darah ke buah pinggang. Air mencukupi diperlukan untuk mengeluarkan bahan buangan ini dari badan dengan berkesan kerana kekurangan air memaksa buah pinggang bekerja lebih keras untuk menapis bahan toksik dan lama kelamaan ia boleh menyebabkan kerosakan organ penting ini.

Air juga diperlukan untuk menjadi pelincir kepada pergerakan sendi dan kajian menunjukkan pengambilan lapan hingga 10 gelas air sehari boleh mengurangkan kesakitan sendi pada 80 peratus pesakit artritis.

Air turut menjadi bahan asas paling utama untuk aktiviti enzim dan kawalan suhu badan; membolehkan darah menghantar oksigen dan nutrien kepada sel di seluruh badan. Kekurangan air menjejaskan semua proses ini dan khasiat makanan mungkin tidak dapat diagihkan dengan baik ke seluruh badan,” katanya pada prapelancaran Ekspo Pendidikan Air Tulin anjuran Elken Sdn Bhd.

Badan kita membabitkan 70 peratus air dan jika air ini bersih, sel badan jadi lebih segar dan kuat. Air bersih boleh merangsang sistem pertahanan badan, metabolisme sel dan mengurangkan risiko sel menjadi tidak normal, mencegah bahan toksik daripada merebak ke sel lain dan merendahkan peluang mendapat jangkitan.

No comments:

Post a Comment