Friday, February 11, 2011

Urat keting putus

Sudah hampir 5 tahun saya menderitai kaki terseliuh di buku lali. Bila dirujuk kepada doktor, mereka mengatakan berat badan saya berat itu yang menyebabkan kaki saya sakit. Bila baca artikel ini saya rasa takut pula. Tetapi artikel ini sangat berguna untuk menambah ilmu.

Oleh Hafizah Iszahanid - hafiza@bharian.com.my (artikel dari Berita Harian Olline)

Pembedahan dapat atasi masalah akibat lompatan mengejut, penuaan dan komplikasi penyakit lain

KAKI bukan hanya pelengkap tubuh tetapi turut menjadi asas pergerakan baik berlari, berjalan mahu pun ketika duduk. Malangnya, kita lebih menitikberatkan aspek fizikal kaki yang sekali gus menenggelamkan peri pentingnya peranan kekuatan dalaman kaki iaitu tulang dan uratnya.

Jika sakit pun atau berasa lenguh, kita sering beranggapan memadailah masalah itu diatasi dengan sekadar menyapu minyak panas dan berurut. Adakah tepat persepsi sedemikian? Bagaimana jika masalah itu jauh lebih serius seperti urat keting itu putus?
Putus urat keting dianggap biasa dalam kalangan atlit. Bagaimanapun, urat atau tendon yang menjadi penghubung tulang tumit dan otot keting ini juga boleh terputus akibat faktor penuaan, komplikasi diabetes atau kencing manis serta masalah arthritis.

Hakikatnya, urat keting adalah tendon yang paling kuat dan tebal dalam sistem tubuh manusia. Ia berukuran 15 sentimeter panjang dan bermula dekat dengan bahagian tengah keting hingga ke bawah tumit.

Tetapi, ia juga antara tendon paling kerap terkoyak atau putus berikutan fungsi utamanya menyelaraskan pergerakan sama ada berjalan atau berlari. Anda juga memerlukan bantuan urat keting apabila terpaksa menjengketkan kaki.

Justeru, jika berlaku gerakan mengejut misalnya melompat tiba-tiba, urat keting boleh terputus atau terkoyak. Urat keting yang terkoyak separuh masih berupaya menghubungkan otot keting tetapi jika terkoyak sepenuhnya, ia tidak lagi berfungsi menghubungkan antara otot keting dan tulang buku lali.
Pakar Runding Ortopedik dan Trauma Sukan, Hospital Pakar Salam, Shah Alam, Dr Ariff Sukimin Mohammad Shukri, berkata, biarpun lebih banyak dialami atlit, tetapi masalah putus urat keting juga boleh menimpa sesiapa saja.

“Masalah radang urat keting yang berpanjangan juga boleh menyebabkannya putus. Masalah sedemikian kerap dialami mereka yang berusia,” katanya.

Urat keting juga boleh menjadi lemah dan menipis kerana faktor usia. Keadaan ini menyebabkan ia cenderung untuk mudah cedera atau putus.

“Namun, putusnya urat keting tidak bermakna anda tidak boleh berjalan. Mereka yang putus urat keting masih boleh berjalan justeru kebanyakan orang yang mengalaminya tidak terlalu prihatin untuk mendapatkan rawatan. Melainkan jika seseorang itu terbabit dalam sukan secara profesional.

“Urat keting yang putus akan menghasilkan bunyi meletup (seperti ‘pop’) dan menyebabkan lebam. Apabila urat keting sudah lama putus, ia akan menyebabkan kesan lekuk pada keting. Urat keting yang putus, terutama di kalangan orang muda dan aktif dalam sukan akan disambung semula melalui pembedahan,” katanya.

Rawatan

Apakah rawatan bagi mengatasi masalah ini? Jelas Dr Ariff, pembedahan adalah rawatan paling popular bagi menangani masalah putus urat keting. Bergantung pada tisu yang terkoyak atau putus, pembedahan ini mungkin akan memerlukan urat keting dijahit kembali ke tapak asalnya.

Jenis pembedahan bergantung kepada saiz jurang urat yang putus. Jika minimum, hujung tendon itu boleh ditemukan semula. Secara umumnya, proses penyembuhan tisu akan berlaku selepas rawatan. Namun, proses itu tidak akan terjadi dalam tempoh yang singkat jika kawasan yang cedera tidak mendapat bekalan darah yang cukup.

“Kaedah terbaru dalam rawatan putus urat keting adalah suntikan plasma daripada pesakit sendiri. Teknik dikenali sebagai Autologous Plasma Injection (ACP) untuk masalah radang kronik pada tendon seperti urat keting selain masalah radang pada urat di siku (tennis elbow),” katanya.

Seperti diketahui, darah kita mengandung ‘growth factor’ atau bahan yang menjana pertumbuhan sel lain bagi membantu pertumbuhan, keseimbangan dan ketahanan tulang, otot, tendon dan ligamen. Apabila ‘bahan itu disuntik ke dalam tendon yang bermasalah, ia membantu tisu untuk cepat pulih.

Justeru kata Dr Ariff, prosedur pembedahan yang dibantu dengan ACP selepas itu dapat menolong pesakit sembuh cepat.

“ACP diformulasi daripada darah pesakit sendiri. Darah sebanyak 10 mililiter diambil, disteril dan diasingkan antara sel putih, sel merah dan plasma. Hanya sel darah dikenali sebagai platelet yang mengandungi ‘growth factor’ paling penting diambil,” katanya.

Ia kemudian disuntik kepada kawasan yang cedera. Dari segi prinsipnya, ia berupaya meningkatkan penghasilan sel stem yang membantu proses penyembuhan tisu.

Info : Simptom urat keting putus
# Rasa sakit, pedih secara tiba-tiba di belakang buku lali
# Kedengaran bunyi ‘pop’ atau ‘meletup’
# Tekanan dirasakan atau dilihat dengan jelas di kawasan tendon kira-kira dua inci di atas tulang tumit.
# Bengkak, kejang diikuti dengan lebam dan lemah.

No comments:

Post a Comment