Oleh Suzan Ahmad - suzan@bharian.com.my
2011/01/30
Gaya hidup sihat bantu kekal sihat sampai tua
SIAPA yang tidak terganggu memikirkan usia semakin meningkat. Selain bentuk fizikal, kudrat juga semakin terhad. Cuba fikir sejenak, mahukah kita menjadi seorang tua yang lemah, tidak berdaya, cerewet, pelupa, rabun, tidak sihat dan lebih selesa bersendirian tatkala anak cucu datang menjenguk atau menjadi warga tua yang cergas, aktif, sihat dan gembira menempuh saat persaraan.
Definisi peningkatan usia yang dikaitkan dengan nombor tidak lagi relevan. Penuaan adalah proses semula jadi yang tidak boleh dielakkan, tetapi ia boleh dilengahkan. Pakar perubatan hari ini tidak lagi mentakrifkan tua berdasarkan umur biologi (angka), sebaliknya lebih melihat kepada tahap kesihatan seseorang.
Mengikut kajian, bilangan warga tua di Malaysia meningkat hampir 1.4 juta pada 2000 dan dijangkakan mencecah 3.4 juta menjelang 2020. Walaupun ini menunjukkan negara akan kebanjiran warga tua berbanding warga muda, ia bukan bermakna warga tua tidak mampu untuk menjadi lebih produktif.
Ramai tidak sedar banyak yang boleh dilakukan individu untuk kekal aktif dan sihat dalam meniti usia tua. Risiko dan beban penyakit kronik meningkat dengan pertambahan warga tua. Begitupun ia boleh dicegah sekiranya mengamalkan gaya hidup sihat, saringan kesihatan tahunan pada peringkat awal bagi mengesan penyakit dan melengahkan merebaknya penyakit dengan perubahan gaya hidup dan pengambilan makanan seimbang.
Perunding Perubatan Dalaman dan Geriatrik Pusat Perubatan Prince Court, Dr Rajbans Singh, berkata dalam meniti usia tua, risiko mendapat penyakit kronik seperti kardiovaskular, diabetes, tekanan darah tinggi, dementia dan Alzheimer adalah tinggi selain penyakit berkaitan kesihatan mental, kanser dan pelbagai lagi.
“Mengesan awal, langkah pencegahan dan pengurusan penyakit lazim seperti darah tinggi dan diabetes mampu mengekalkan tahap kesihatan dan hidup berdikari. Menggalakkan warga tua aktif mental dan fizikal penting buat populasi yang semakin meningkat usia ini dengan mengamalkan pemakanan seimbang kerana ia mampu mengurangkan risiko sakit jantung, strok, diabetes jenis 2, masalah tulang, beberapa jenis barah dan anemia.
“Ramai warga tua berubah menjadi sangat memilih makanan, ada juga yang enggan mendengar nasihat doktor untuk mengamalkan pemakanan seimbang dan penuh nutrisi bagi memastikan terus sihat, cergas dan aktif,” katanya selepas perasmian Program Kesejahteraan Warga Tua di PPPC, baru-baru ini.
Masalah kesihatan paling lazim diterima ialah arthritis dan sakit sendi, sakit belakang, osteoporosis, masalah pendengaran, hilang penglihatan, hilang ingatan, tekanan, hilang stamina dan hilang selera.
Kebanyakan masalah ini boleh dicegah dengan amalan gaya hidup sihat. Masalah berkaitan sakit sendi dan arthritis pula boleh dialihkan atau dilengahkan daripada merebak dengan ubat-ubatan.
Dr Rajbans turut mendedahkan, kini kajian saintifik menyeluruh dijalankan terhadap sel stem bagi menangguh atau melambatkan proses penuaan sel manusia secara semula jadi supaya mereka kekal kelihatan muda walaupun sudah berusia.
Kajian menunjukkan, menjelang 2050 warga tua atau populasi kelabu ini dijangka mencecah dua bilion dan 80 peratus daripada jumlah itu tinggal di negara membangun. Ini membuktikan paras lanjut usia penduduk juga semakin panjang dengan 80 peratus kematian berlaku ketika usia mencecah lebih 60 tahun.
“Sekiranya warga tua mampu mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan diri, mereka juga mampu memainkan peranan yang cukup efektif dalam membangunkan bangsa dan negara dengan berkongsi pengalaman, kepakaran, skil dan kebijaksanaan,” katanya.
INFO: Petua kekal muda
# Lakukan senaman ringan setiap hari bergantung pada tahap kesihatan, untuk kekal cergas dengan memastikan fizikal dan mental sihat dan mandiri. Individu yang tidak aktif lebih mudah mendapat penyakit jantung berbanding mereka yang aktif
# Elakkan terjatuh kerana ia boleh menyebabkan kecederaan, retak dan maut. Keretakan akibat terjatuh biasanya menjejaskan bahagian punggung, pelvik, tulang belakang dan lengan
# Makan makanan rendah lemak, diet tinggi serat dan pastikan pemakanan seimbang seperti buah, sayur, bijirin dan kekacang
# Dapatkan nasihat doktor sebelum melakukan sebarang senaman, diet atau makanan tambahan
# Minum banyak air, berhenti merokok dan elak atau kurangkan alkohol
# Kekalkan harga diri - bawa diri anda dengan penuh keyakinan dengan gaya berpakaian menarik, gaya rambut, menjaga penampilan wajah dengan melakukan penjagaan dan rawatan muka
No comments:
Post a Comment