Oleh Hafizah Iszahanid - hafiza@bharian.com.my
2010/10/10
Banyakkan minum air, sayur, buah-buahan bagi elak masalah
JIKA ditanya apakah kebimbangan yang bersarang di minda bakal haji, sudah pasti jawapannya adalah kesihatan selain menjaga tertib ibadat berkenaan.
Ini kerana, tanpa kesihatan yang baik, sedikit sebanyak ia pasti memberi kesan ketika mengerjakan haji. Antara ancaman utama termasuklah perubahan cuaca, berkumpulnya ribuan manusia selain kepadatan penduduk sedia ada serta kesukaran lain andai anda mengalami penyakit kronik.
Umumnya, bakal jemaah seharusnya memulakan persediaan penjagaan kesihatan dengan mengamalkan pemilihan makanan seimbang dan mengikut piramid makanan. Banyakkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan, pilih makanan yang rendah lemak dan rendah kolesterol. Bersederhana dalam pengambilan makanan yang mengandungi gula dan garam selain banyakkan pengambilan air kosong.
Jika anda merokok, sepatutnya anda sudah berjaya meninggalkan tabiat itu sebelum mengerjakan haji. Selain kaitan pelbagai komplikasi penyakit kronik, tabiat buruk itu juga menyebabkan perokok cepat semput ketika mengerjakan ibadat itu dan masalah nafas busuk.
Sebelum ke tanah suci, anda seharusnya sudah melakukan pemeriksaan kesihatan. Pemeriksaan kesihatan penting bagi mengesan masalah kesihatan yang anda hadapi. Ia bagi mengelakkan penyakit menjadi bertambah teruk semasa berada di tanah suci. Selain itu pemeriksaan kesihatan juga penting terutama bagi anda yang sebelum ini tidak pernah melakukannya. Ia membantu mengesan sekiranya jemaah berhadapan dengan masalah seperti darah tinggi, kencing manis, lemah jantung serta lain-lain masalah kesihatan.
Pemeriksaan kesihatan juga penting bagi memastikan anda tidak berhadapan dengan penyakit berjangkit atau masalah nyanyuk selain hamil bagi jemaah haji wanita. Pemeriksaan kesihatan juga meliputi pemeriksaan mental dan fizikal iaitu ujian paras hemoglobin, kumpulan darah, faktor rhesus, ECG dan jika perlu ujian tekanan mengikut umur dan keadaan fizikal.
Jangan cuba sorokkan status kesihatan anda. Perbuatan ini bukan saja akan menyusahkan petugas perubatan di tanah suci tetapi juga akan menyusahkan diri anda juga.
Bagi jemaah wanita pula, jika mahu mengambil ubat hormon bagi menghentikan haid dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat doktor. Namun, secara umum kedatangan haid tidak menjadi masalah kecuali sewaktu tawaf dan saie.
Pastikan anda memenuhi jadual imunisasi yang disyaratkan. Semua bakal jemaah wajib mendapatkan suntikan anti meningitis (meningococcal Quadrivalent Vaccine ACYW-135) yang boleh diambil di klinik atau hospital. Suntikan ini adalah persediaan wajib untuk bakal jemaah seperti mana diarahkan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Suntikan lain yang boleh diambil sebagai langkah berjaga-jaga termasuklah vaksin influenza A H1N1, influenza bermusim bermusim, pneumococcal 23-valent (mereka yang berhadapan dengan masalah paru-paru, sakit ginjal, endokrin amat digalakkan mengambil vaksin ini untuk mencegah radang serius di paru-paru yang berpunca daripada bakteria). Secara umum, pneumonia merupakan antara penyakit utama dikalangan jemaah haji di tanah suci.
Pertimbangkan juga untuk mengambil vaksin hepatitis (A, B, C) dan lain-lain vaksin yang difikirkan perlu, tetapi berbincanglah dengan doktor terlebih dulu.
Anda juga sepatutnya sudah melatih diri untuk bersenam setiap hari sekurang-kurangnya untuk jangka masa 15 ke 20 minit. Tidak semestinya di gimnasium, sebaliknya latih diri dengan senaman mudah seperti berjalan. Mulakan dengan jarak yang dekat sebelum lebih jauh.
Anda juga digalakkan menyediakan pakaian yang sesuai bagi menyesuaikan diri dengan cuaca yang boleh menjadi terlampau sejuk di sebelah malam (pakaian tebal, stokin) selain topeng muka sebagai persediaan mengharung hari siang yang mungkin berdebu.
Kerap minum air kosong jika cuaca panas, namun jauhkan minuman berkafien kerana ia akan menyebabkan anda kerap terkencing. Pastikan juga anda mencuci tangan dengan betul bagi mengelakkan masalah penyakit berjangkit melalui makanan.
Info - Antara masalah halang haji:
# Gangguan mental (gila/tidak siuman).
# Dimentia (nyanyuk).
# Diabetes yang tidak terkawal dan mempunyai komplikasi.
# Hipertensi yang tidak terkawal dan dalam keadaan bahaya.
# Sakit jantung di peringkat bahaya.
# Penyakit kanser di peringkat serius.
# Menghidap penyakit berjangkit.
# Hamil.
Sumber: Bahagian Pendidikan Kementerian Kesihatan dan Tabung Haji.
No comments:
Post a Comment