LONDON: Satu kajian terbaru Amerika Syarikat mendakwa sikap berhati muda itu mampu membawa manfaat dan dikatakan dapat menjadikan seseorang itu awet muda. Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan, biarpun seseorang itu sudah tua, tetapi dengan berfikiran positif sebenarnya dapat membantu melewatkan proses penuaan.
Malah, kajian terbaru Universiti Texas yang disiarkan dalam Jurnal `Psychology And Ageing', menunjukkan mereka yang sentiasa ceria dan berpandangan positif mengenai kehidupan kurang mempamerkan aspek penuaan yang ketara.
Penyelidik terbabit membuat kesimpulan yang hasil kajian mereka membuktikan faktor psikologi selain genetik dan kesihatan fizikal memainkan peranan penting dalam menentukan secepat mana seorang itu menjadi tua.
Kajian penyelidik Texas itu membabitkan 1,558 warga tua dari kalangan masyarakat Amerika berketurunan Mexico bagi melihat kaitan antara sikap positif dengan penuaan.
Di awal kajian tujuh tahun itu, kesemua sukarelawan terbabit berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan sihat.
Penyelidik menilai perkembangan penuaan mereka sepanjang tempoh terbabit dengan mengukur kadar kehilangan berat badan, keletihan, kelajuan berjalan dan keupayaan cengkaman tangan.
Mereka mendapati responden yang sentiasa berfikiran positif terhadap kehidupan terbukti agak lewat menjadi tua.
Namun, penyelidik itu berasakan lebih banyak kajian lanjutan perlu diadakan bagi membuktikan kaitan unik berkenaan, tetapi yakin yang perasaan atau emosi positif memberi kesan kepada kesihatan dengan mengubah keseimbangan kimia dalam badan.
Malah, sikap itu dapat mempengaruhi kesihatan seseorang dengan memberi keyakinan mereka dapat menempuhi hidup dengan penuh kejayaan.
"Saya sendiri sememangnya percaya ada kaitan antara pemikiran dan badan. Apa yang berlegar di minda kita mempengaruhi fungsi fizikal dan tahap kesihatan diri secara keseluruhan, termasuk dari segi ketahanan badan," kata ketua penyelidik Dr Glenn Ostir.
Laporan kajian kedua yang turut disiarkan jurnal sama, turut mengandaikan yang tahap fizikal individu boleh dipengaruhi keadaan mental seseorang itu.
Sekumpulan penyelidik Universiti North Carolina State yang menemu bual 153 orang daripada pelbagai peringkat umur yang turut menjalani ujian memori selepas didedahkan kepada perkataan positif dan negatif berhubung kepercayaan ramai membabitkan aspek penuaan.
Hasilnya, tahap memori di kalangan dewasa terbabit adalah rendah apabila mereka berulang kali mendengar pandangan negatif yang stereotaip.
Keadaan adalah sebaliknya apabila golongan muda dan dewasa itu didedahkan dengan tanggapan positif.
"Ini menunjukkan jika golongan tua dilayan sama seperti orang muda yang dilihat sebagai berkeyakinan, itulah yang akan berlaku."
"Ia menunjukkan faktor persekitaran sosial yang boleh memberi impak bermakna kepada tahap memori golongan dewasa yang berumur," kata ketua penyelidik, Profesor Thomas Hess. – Agensi
No comments:
Post a Comment