Asma atau lelah yang menyerang kanak-kanak boleh menimbulkan perasaan yang sangat menakutkan kepada ibu bapa dan penjaga, lebih menakutkan apabila pernafasan anak tersekat-sekat dan beberapa angota seperti bibir, kuku dan anggota lain kelihatan kebiru-biruanan. Banyak faktor yang boleh menyebabkan penyakit ini menyerang kanak-kanak dan salah satunya adalah disebabkan oleh masalah alahan yang memberi kesan terus kepada laluan udara dalam tubuh.
Apabila ianya berlaku saluran tenggorok menjadi sempit dan tersekat oleh lendir yang memenuhinya hingga menyebabkan kesukaran untuk bernafas.
Alahan biasanya berpunca daripada habuk, bulu haiwan atau debu di dalam rumah dan di luar rumah. Biasanya ia tidak berlaku sehinggalah seseorang kanak-kanak itu berusia dua tahun, tetapi terdapat juga kanak-kanak di bawah usia tersebut yang juga mendapat serangan asma. Bagaimanapun, kebanyakan mereka kembali pulih dalam proses meningkat dewasa.
Bayi di bawah usia setahun mempunyai nafas yang berbunyi jika mereka mengalami masalah di tenggorok iaitu apabila laluan udara yang kecil dipenuhi lendir. Tidak semestinya mereka mengalami lelah kerana apabila besar kelak, laluan udara semakin luas dan bunyi itu akan hilang sendiri. Namun, serangan lelah boleh menjadi sesuatu yang menakutkan tetapi dengan rawatan dan nasihat doktor, anak anda tidak akan menderita komplikasi yang teruk.
Tanda-tanda asma ialah pernafasan yang tersekat-sekat ketika menghembus nafas dan perut nampak kempis bila menarik nafas, kelihatan seperti tercekik, nafas berbunyi, batuk yang berterusan dan bibir kebiruan kerana kurang oksigen. Jika serangan lelah berlaku ketika anak sedang tidur, dudukkan dia dan alas dengan bantal. Jika tidak, dudukkannya di kerusi dengan kedua-dua tangannya menekan bahagian belakang. Ini bertujuan menyokong berat dadanya dan membantu otot dadanya untuk memaksa udara keluar lebih mudah.
Dalam hal ini, ibu bapa harus bertenang. Jika anda kelam-kabut, anda anda akan berasa lebih takut. Lazimnya, doktor akan merawat lelah dengan memberikan anak anda ubat khas yang dapat membuka saluran pernafasan dan merehatkan otot di sekelilingnya. Ubat ini dimasukkan ke dalam saluran pernafasan dan terus menuju ke tempat yang sakit.
Serangan yang teruk mungkin menyebabkan anak anda terpaksa menjalani rawatan di hospital kerana lebih banyak ubat yang perlu diberi.
No comments:
Post a Comment