Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
SELAIN sendawa, angin dalam badan menyebabkan seseorang berasa letih, hilang selera makan dan sakit kepala.
SETIAP tahun, Fauzi menjalani pemeriksaan keseluruhan badan di hospital. Tidak terkecuali juga pada tahun ini. Namun, sejak akhir-akhir badannya sering berasa letih. Terlalu stres memikirkan masalah tersebut, Fauzi berjumpa doktor untuk mengetahui punca sebenar. Dia mengambil cuti sakit kerana sakit kepala, hilang selera makan dan demam.
Adakah Fauzi mengalami demam biasa? Apakah punca masalah yang sebenar? Doktor menjelaskan, dia sebenarnya mempunyai masalah angin di dalam badan.
Semua orang mempunyai angin di dalam badan dan sebaiknya mengakulah kepada doktor anda kerana angin selalunya berkait rapat dengan pemakanan. Masalah tersebut boleh dirawat menerusi pengubahsuaian makanan selain produk-produk yang banyak dijual di farmasi.
Ada beberapa punca lain yang boleh mencetuskan masalah angin dan bukannya terhad kepada pemakanan seperti kekacang. Ramai pula yang mengaitkan masalah itu menjadi punca demam, stres dan hilang tumpuan kerja.
Menurut Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, angin di dalam badan berpunca daripada gas di dalam sistem penghadaman atau sistem gastro usus. Sistem tersebut mengandungi gas yang tidak berbau iaitu 99 peratus gas buangan dari usus manakala gas yang tidak menyenangkan pula mungkin disebabkan oleh gas yang mengandungi sulfur.
“Ia dilepaskan oleh bakteria di dalam usus besar. Angin disebabkan oleh gas atau angin di dalam sistem penghadaman badan datang daripada dua sumber iaitu udara yang disedut dan bakteria di dalam usus besar.
"Bakteria ini terjadi akibat gangguan daripada makanan yang tidak dapat dihadamkan dengan baik,” katanya.
Secara umumnya, penyakit atau masalah angin adalah perkara biasa bagi kebanyakan orang.
Walaupun tiada statistik sebenar, anggaran 30 hingga 40 peratus masyarakat mengalami masalah angin iaitu minimum sekali dalam hidup mereka.
Realitinya, masalah angin tidak menyebabkan kemudaratan teruk. Ia hanya perasaan tidak selesa dan kurang menyenangkan serta mengganggu kerja harian.
Rawatan
Seperti kebanyakan penyakit lain, angin di dalam badan sering dikaitkan dengan pemakanan.
Justeru ia boleh diatasi dengan melebihkan makanan berzat serat (fiber), sayur-sayuran, buah-buahan dan senaman harian.
“Jikalau kesemua di atas tidak mendatangkan manfaat, kita boleh memberikan ubat-ubatan tertentu,” ujarnya.
Selain itu, berurut, sauna, bersenam dan gaya hidup sihat dapat membantu mengatasi masalah stres.
Terdapat kepercayaan amalan mandi waktu malam menjadi punca masalah tersebut.
Menurut Dr. Malik, tiada bukti saintifik mandi waktu malam boleh menyebabkan angin di dalam badan.
Seseorang boleh mengesan dia mengalami masalah angin di dalam badan jika sentiasa sendawa dan mengalami kembung perut.
Keadaan itu menyebabkan rasa kurang selesa, sakit dan seterusnya mengurangkan selera makan juga sakit kepala.
Beliau menasihatkan orang ramai yang mengalami gejala tersebut mendapat rawatan doktor di samping menjaga pemakanan serta bersenam.